Thursday, December 17, 2009

Tingkat Bahagia (drpd Al Imam Al Ghazali)

Al Imam Al Ghazali membahagikan tingkat bahagia itu kepada 5 bahagian, meskipun nikmat-nikmat Allah itu sudah nyata tidak dapat dihitung, tetapi pembahagian yangf besar itu ditunjukkan kepada 5 bahagian.

Bahagian Pertama: Bahagia Akhirat

Itulah bahagia yang abadi, tidak ada fana padanya. Di sanalah sukacita, tidak ada dukacita padanya. Tetapi tidaklah manusia akan sampai kepada induk segala nikmat itu melainkan izin Tuhan, dan tidak pula tercapai kalau tidak dilalui dahulu tangga ke sana. Tangga itu ialah nikmat bahagian kedua.

Bahagian kedua: Keutamaan Akal Budi

Keutamaan Akal Budi terbagi pula kepada 4 bahagian;
Pertama: Sempurna Akal. Sempurna Akal ialah dengan ilmu.
Kedua 'Iffah : (dapat menjaga kehormatan diri). Sempurna 'Iffah ialah dengan wara', ertinya tiada peduli pujukan manisnya dunia.
Ketiga : Syaja'ah, iaitu berani kerana benar, takut kerana salah. Sempurna syaja'ah ialah dengan jihad.
Keempat : Al-Adl (Keadilan) Sempurna keadilan ialah dengan insaf.Maka keempat-empat inilah sepurna Akal Budi, dengan sempurna akal budi timbul perasaan wajib mengerjakan agama, dan bahagian kedua ini tidak melalui tangganya. Tangganya ialah bahagian yang ketiga.

Bahagian Ketiga: Keutamaan yang ada pada Tubuh

Terkandung pula di dalam keutamaan tubuh itu 4 perkara
Pertama: Sihat
Kedua: Kuat
Ketiga: Elok, iaitu gagah bagi lelaki dan cantik bagi perempuan
Keempat: Umur panjang

Tercapai kesempurnaan yang ketiga itu dengan melalui terlebih dahulu bahagian yang keempat.

Bahagian Keempat: Keutamaan dari Luar Badan

Keutamaan dari luar badan itu mengandungi pula 4 kecukupan
Pertama: Kaya akan harta benda
Kedua: Kaya dengan keluarga
Ketiga: Terpandang dan Terhormat
Keempat: Mulia Keturunan

Maka tidaklah pula sempurna bahagian yang keempat ini, kalau tidak melalui bahagian yang kelima

Bahagian Kelima: Keutamaan yang datang dari Taufiq dan Pimpinan Allah

Mengandungi 4 perkara pula, iaitu
Pertama : Hidayat Allah (Petunjuk)
Kedua : Irsyad Allah (Pimpinan)
Ketiga : Tasdid Allah (Sokongan)
Keempat : Ta'ayid Allah (Bantuan)

Dengan ini nyatalah bahawa ada lima tingkatan dan keutamaan yang harus kita tempuh untuk mencapai mahligai bahagia itu. Iaitu mencapai bahagia Akhirat dengan membahagiakan budi, tubuh luar, jasad dan pimpinan. Antara lain bertali antara satu sama lain, tidak dapat dipisahkan, jika berpisah pincanglah atau tidak sempurna bahagia itu.Terbit pula keraguan orang ramai. Apakah perlunya kebahagian luar badan itu? Apakah perhubungan harta benda, ramainya kaum kerabat, terpandang mulia dalam masyarakat perlu untuk mencapai bahagia yang sejati?

Jawapan: Ia adalah sebagai satu sayap untuk terbang menuju maksud yang hendak dicapai.

No comments: